Monday, March 15, 2010

Nak pergi JAIS hari ni.


Hari ini penulis blog akan pergi ke Pejabat Agama Islam Hulu Langat di Kajang, JAIS dan juga Lembaga Zakat Selangor di Shah Alam.

Tujuan iaitu bagi memohon jasabaik pihak Lembaga Zakat Selangor supaya dapat menyalurkan peruntukan awal bantuan yang sudah diluluskan berjumlah RM40,000.

Ke Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat untuk mendapatkan tandatangan pegawai kerana surat dihantar melalui mereka.

Sudah dapat penulis blog akan ke JAIS pula untuk memohon surat sokongan. Jika sudah dapat surat sokongan JAIS penulis blog akan menghantar surat permohonan kepada Lembaga Zakat pula.

Semua penduduk diminta berdoa moga-moga lembut hati pihak pengurusan Lembaga Zakat Selangor untuk meluluskan permohonan AJK.

Penulis blog tahu memang Lembaga Zakat Selangor ada prosedur tertentu untuk mengeluarkan peruntukan tetapi tidak salah mencuba.

Jika wang dana surau yang berjaya dikumpul AJK habis dan peruntukan yang diluluskan Lembaga Zakat Selangor masih belum diterima, pembinaan surau as-Syakirin akan dihentikan. AJK tidak berani menyuruh kontraktor meneruskan pembinaan jika dalam akaun surau di bank tiada duit untuk membayar kontraktor bagi fasa pembinaan seterusnya.

Duit habis, AJK akan memberi arahan kepada kontraktor supaya menghentikan kerja. Sudah ada duit di dalam akaun bank kontraktor akan dipanggil semula.

Namun penduduk dan penderma daripada luar komuniti ini boleh membantu AJK dengan memastikan di dalam akaun bank Surau As-Syakirin mempunyai jumlah wang yang mencukupi.

Penduduk yang masih belum membuat sumbangan diminta menunjukkan sikap keprihatinan. Marilah kita bermuafakat bersama-sama. Surau yang hendak dibangunkan ini adalah milik semua penduduk di fasa 6 dan 7 Taman Pelangi Semenyih. Walaupun kita tidak mahu datang apabila ia nya sudah siap nanti, cukuplah jika kita menjadi salah seorang penyumbang kepada dana pembinaannya.

Kepada penderma daripada luar komuniti kami pula, tidaklah dapat kami membalas jasabaik tuan/puan membantu kami atas derma yang tuan/puan hulurkan. Moga-moga sumbangan yang tuan/puan hulurkan menggandakan lagi rezedki yang tuan/puan terima pada masa mendatang.

No comments:

Post a Comment