Saturday, July 11, 2009
Mengapa kita perlu surau?
1. Surau akan menjadi tempat untuk penduduk berkumpul. Apabila berkumpul, penduduk dapat berkenalan antara satu sama lain. Tahu nama serta ahli keluarga penduduk yang lain. Suatu fakta setelah taman ini mula diduduki sejak November 2008, masih ada penduduk yang tidak mengenali jiran tetangga.2. Bagi penduduk yang ingin menjemput jiran tetangga datang ke majlis kenduri kesyukuran, majlis tahlil dan seumpamanya, menulis memo di papan kenyataan surau satu cara mudah menjemput jiran tetangga.
3. Penduduk ditimpa kesusahan dan perlu pertolongan. Dengan majoriti penduduk yang menjadi jamaah sesebuah surau, bantuan segera dapat diberikan kepada penduduk. Contoh paling jelas adalah berkaitan kes kematian. AJK surau lazimnya akan membantu penduduk menguruskan perkara ini. Tiada AJK surau, tiada siapa yang akan membantu. Penduduk sendiri perlu berusaha mendapatkan pertolongan dari luar komuniti ini.
4. Surau sebagai pos kawalan keselamatan. Perbincangan isu-isu keselamatan komuniti dapat dilaksanakan di surau.
5. Menunaikan ibadah seperti solat lima waktu, solat sunat tarawikh, solat sunat hari raya Aidilfitri dan Aidiladha dan ibadah-ibadah yang seumpamanya.
6. Anak penduduk hendak menjalankan upacara nikah ? Di surau adalah tempat yang sesuai selain mendapat keberkatan.
7. Ada musafir, tetamu atau sanak saudara datang pada majlis perkahwinan atau majlis kenduri di rumah penduduk, surau adalah tempat yang selesa untuk bertanggak atau berehat. Tidak cukup parking, parking sahaja di dalam kawasan surau.
8. Ingin pertolongan melaksanakan majlis walimatul urus atau kenduri perkahwinan. Surau tempat yang sesuai untuk bermesyuarat rewang- memberi agihan tugas. Sangat relevan jika penduduk mempunyai kawasan untuk memasak sendiri, jemaah surau sedia membantu.
9. Surau adalah salah satu infrastuktur di sesebuah taman perumahan. Tidak lengkap rasanya jika sebuah taman perumahan yang majoriti penduduknya adalah muslim tidak mempunyai sebuah surau tempat penduduk berkumpul dan bersilaturrahim sesama sendiri.
10. Melatih anak-anak kecil mencintai surau. Oleh kerana kedudukannya strategik berada di tengah blog perumahan, anak-anak kecil boleh pergi sendiri ke surau tanpa ibubapa bimbangkan keselamatan mereka.
11. Kaum wanita juga mudah pergi berjalan kaki kerana kedudukannya dekat dengan rumah. Surau akan menjadi tempat kaum wanita menubuhkan perkumpulan hal-ehwal wanita atau HELWA bagi menjaga kebajikan-kebajikan kaum wanita. Nak buat kelas masak memasak atau jahit-menjahitpun boleh. Nak buat kumpulan nasyid, qasidah, marhaban atau berzanji? penulis blog beri sokongan penuh.
12. Mengelak remaja terlibat dengan gejala sosial- Lazimnya kanak-kanak yang sudah dilatih datang ke surau sejak kecil dan secara berterusan datang ke surau apabila remaja jarang menimbulkan gejala sosial.
Bukankah masjid dan surau berdekatan sudah ada?
Betul. Namun kedudukan masjid adalah jauh dari perumahan Taman Pelangi Semenyih. Masjid terdekat adalah Masjid Kampung Rinching Hulu yang lokasinya hampir 4KM dan Masjid Pekan Semenyih juga 4KM dari sini. Kebanyakan penduduk Taman Pelangi Semenyih bersolat Jumaat di Surau al Makmur Bandar Rinching sejauh 3 KM. Surau PGA yang dalam pembinaan juga sejauh 2KM dari sini manakala Surau An Nur pula sejauh 1KM.
Sungguhpun demikian AJK berpendapat oleh kerana tapak surau telah disediakan oleh pemaju dan diluluskan dalam pelan susun atur pembangunan Fasa 6 dan 7 Taman Pelangi Semenyih, amat releven sebuah surau dibangunkan ke atas tapak tersebut.
Tapak surau di fasa 6 dan 7 yang disediakan oleh pemaju ini sebenarnya telah menjadi faktor penarik kepada pembeli untuk membeli unit-unit kediaman di sini. Penulis blog sendiri adalah salah seorang daripada pembeli yang sudah mengambil kira faktor ini.
Kedudukan surau ini yang sangat strategik kedudukannya kerana berada di tengah-tengah blok rumah penduduk memudahkan ahli komuniti mengaksesnya. Jika tidak dapat hadir 5 waktu solat wajib sehari semalam setiap hari, sekali atau 2 kali setiap hari sudah memadai. Datang seminggu atau sebulan sekali pun jadilah.
No comments:
Post a Comment