Beberapa minggu lepas AJK telah mengedarkan surat-surat memohon sumbangan mengisi dana pembinaan surau daripada penduduk. Lebih kurang 6 orang AJK iaitu penulis blog, en Bilal, Ust Wan, En Azwan, En Rokemy dan En Haslam telah mengedarkan surat-surat tersebut ke dalam peti surat rumah-rumah penduduk.
Hasilnya AJK telah mula menerima sumbangan daripada penduduk yang masih belum membuat sumbangan. Sehingga hari ini antara 10 hingga 20 orang penduduk telah mula memberikan sumbangan.
Untuk tindakan berikutnya AJK akan mengedarkan lagi surat-surat ini dengan mengemaskini data penyata kewangan untuk makluman penduduk-penduduk yang sudah memberi sumbangan dan yang belum memberikan sumbangan.
Sekiranya dalam penyata tersebut, tidak tercatat nama penduduk yang sudah memberikan sumbangan, mohon menyemak dengan bendahari supaya data dapat diperbetulkan.
Penduduk dinasihatkan supaya segera bertanya kepada AJK untuk mendapatkan resit rasmi sebaik sahaja telah memberikan sumbangan melalui mana-mana AJK.
Lazimnya bendahari akan mengeluarkan resit dengan kadar segera dan segera pula menyerahkannya dengan memasukkan resit tersebut ke dalam peti surat rumah penduduk.
Kaedah pungutan derma ke rumah-rumah penduduk oleh AJK akan difikirkan untuk dilaksanakan nanti. Bagi tujuan ini AJK tidak tertakluk kepada syarat memungut derma yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri Selangor yang melarang kaedah ini. Ini kerana surau yang akan dibangunkan ini adalah untuk kegunaan penduduk di fasa 6 dan 7 Taman Pelangi Semenyih sendiri.
Apa yang dilarang oleh MAIS adalah AJK menjalankan pungutan daripada rumah ke rumah orang awam daripada komuniti luar yang tiada kena-mengena dengan surau yang akan dibangunkan. Contohnya AJK menjalankan kutipan dari rumah ke rumah di taman-taman perumahan lain di Putrajaya, di Kajang, Shah Alam dan seumpamanya.
Ini berikutan untuk mendapatkan bantuan dana daripada Lembaga Zakat , penduduk atau AJK perlu berikhtiar terlebih dahulu untuk mencari dana. Lembaga Zakat atau mana-mana badan mewakili pihak kerajaan tidak akan menghulurkan bantuan peruntukan seratus peratus. Lazimnya bantuan peruntukan adalah dalam jumlah tertentu tertakluk kepada jumlah maksimum yang ditetapkan. Dalam hal ini Lembaga Zakat lazimnya memberikan peruntukan maksimum RM50,000. Namun untuk pembinaan surau As-Syakirin, bantuan yang diluluskan adalah berjumlah RM40,000 iaitu kurang RM10,000 daripada jumlah maksimum yang ditetapkan.
Selain itu AJK ingin menjelaskan kepada penduduk bahawa sumbangan ini adalah tidak wajib atau tidak dimestikan. Namun oleh kerana surau ini akan digunakan oleh penduduk di komuniti ini amat patut semua penduduk muslim memberikan komitmen penuh sebagai tanda sokongan terhadap pembinaan surau ini tanpa seorangpun mengambil pendirian berkecuali.
Adakah penduduk yang tidak berminat dengan institusi surau?
No comments:
Post a Comment