Untuk rekod penerimaan sumbangan penduduk, bendahari akan mencatat nama penduduk, nombor rumah, nama jalan dan jumlah sumbangan.
Barangkali ada penduduk setuju. Barangkali juga ada yang tidak setuju. Ada pro dan kontra.
Penulis blog ingin memaklumkan penduduk, penulisan rekod penerimaan wang sedemikian rupa adalah untuk menunjukkan ketelusan pengurusan kewangan dana surau ini. Memaparkan rekod kewangan untuk tatapan umum dapat mengelakkan prasangka wang dana diselewengkan. Selain itu sebagai penderma boleh jadi mereka turut ingin melihat sumbangan derma yang mereka beri sampai ke tangan bendahari dan wang mereka dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina surau ini.
Seperti entry penulis blog terdahulu, penulis blog amat memahami ramai anggota masyarakat menjadi fobia untuk menderma kerana kadangkala kedengaran kes AJK surau atau masjid tertentu menyelewengkan dana institusi tersebut. Jawatan bendahari akan menjadi satu jawatan panas. Tiada penyata, bendahari akan diserang dengan pelbagai tohmahan. Akhirnya bendahari letak jawatan untuk memberi ruang kepada orang lain pula yang ingin merebut jawatan tersebut.
Inilah sebab utama mengapa maklumat lengkap penderma dipaparkan di sini. Bukan tujuan penulis blog untuk memalukan mahupun menjatuhkan maruah penduduk atau menidakkan hak privasi penduduk.
Sebagai pilihan, penduduk boleh memaklumkan bendahari supaya tidak memasukkan nama sebagai penderma. Penduduk boleh mencadangkan rekod dicatat seperti berikut:
1. Penama tidak dikenali No 1A, Jln TPS 1/1 - RM1000
Jika tidak mahu dicatat lansung, penduduk kreditkan sahaja sumbangan terus ke mesin deposit tunai EON Bank di pekan Semenyih Sentral atau dimana-mana yang terjumpa. Simpan sahaja slip deposit. Namun resit rasmi tidaklah bendahari dapat keluarkan dan pasti akan ada ruang kosong dalam sumbangan penduduk mengikut jalan-jalan yang dipaparkan di sini.
Walaupun tiada tercatat dilejer atau di blog ini, wang sumbangan penduduk sudah diterima. Dengan cara ini bendahari tidak tahu bahawa penduduk sudah memberi sumbangan. Tetapi tidak mengapa kerana Dia, Tuhan Yang Maha Esa, Amat Mengetahui iaitu Tuhan Yang Satu. Tidak ada satu apapun yang terlepas daripada pengetahuanNya.
No comments:
Post a Comment