Pelan sudah siap dan ada pada penulis blog. Berikutan pelan sudah siap, satu mesyuarat AJK akan dibuat pada malam besok.
.>>>>>>>
Petang semalam seorang AJk telah menelefon penulis blog memaklumkan plan yang hendak di submit ke MPKj untuk tujuan draf cadangan pembangunan Surau As-Syakirin sudah siap dan berada di tangannya. Seperti dipersetujui AJK, bendahari akan mengeluarkan RM500 dana terkumpul untuk membiayai kos cetakan pelan tersebut.
Sebenarnya penulis blog baru berkira-kira untuk menukar pelan rekabentuk surau. Pelan rekabentuk surau ini menyebabkan kos binaan menjadi mahal iaitu sekitar RM200,000 ke RM300,000. Bagi penulis blog saiz surau tidak penting. Asalkan ada surau sudah. Walaupun hanya mampu menyediakan ruang untuk 20 ke 30 jemaah sudah cukup. Hatta seperti surau transit juga tidak mengapa. Bentuk juga tidak penting. Macam sebuah kotak juga penulis blog boleh terima.
Tapi penduduk fasa 6 dan 7 bukankah ramai? Betul ramai. Penulis blog sudah membuat kajian. Semasa mengedar surat-surat edaran ke rumah penduduk, penulis blog melihat masih ramai lagi penduduk yang tidak mengambil bahagian dalam pembangunan surau As-Syakirin yakni menghulurkan sumbangan menambah dana pembinaannya.
Penulis blog tidak peduli. Surat edaran akan penulis blog edarkan dari masa ke semasa. Yang penting penulis blog menjalankan tugas. Soal penduduk beri sumbangan atau tidak terpulang kepada mereka.
Nanti surau tidak mampu menampung jumlah jemaah yang ramai bagaimana pula? Tidak mengapa. AJK akan bentang tikar di luar surau. Mungkin Surau As-Syakirin akan memecah rekod. Pada waktu solat fardhu yang biasa, jemaahnya melimpah sampai ke luar kerana surau tidak muat. Lazimnya jemaah melimpah ruah pada hari solat Jumaat dan solat hari raya saja.
Penulis blog baru bercadang untuk membina surau berharga sekitar RM100,000 saja dan akan mengemukakan cadangan dalam mesyuarat AJK yang akan dibuat dalam tempoh terdekat ini. Tetapi pelan pulak sudah siap. Tak sempat penulis blog mengemukan cadangan ini.
Sebelum ini saiz binaan surau telah sekali dikecilkan.
Pertama kali saiz binaan surau as-Syakirin yang dipersetujui adalah bersaiz 40 X 70 kaki persegi.
Kali kedua saiz binaannya dikecilkan kepada 50 X 50 kaki persegi bagi mengurangkan kos binaan.
Penulis blog pula bercadang untuk mengecilkan lagi saiz binaannya kepada 30 X 30 kaki persegi sahaja dengan andaian kos pembinaannya dalam lingkungan Rm100,000 memandangkan jumlah dana terkumpul pembinaan surau As-Syakirin yang berjaya dikumpul hanya berjumlah RM70,000 sehingga 18 Okt.2009.
Pada 1 Disember 2009, kebenaran memungut derma ini tamat pula. Selepas itu hendak mendapatkan peruntukan kewangan dari mana pula jika surau berharga lebih dari Rm100,000.
Rekabentuk surau yang baru telah ada pada penulis blog. Dalam bentuk foto. Bentuknya agak mudah. Sewaktu pulang ke kampung berhari raya dahulu penulis blog sempat merakamkan gambar beberapa surau sepanjang laluan penulis blog berhari raya ke rumah saudara-mara untuk mencari idea bentuk binaan yang mudah, yang kosnya agak rendah disamping rekabentuknya agak boleh tahan.
Penulis blog bercadang untuk membawa foto surau ini untuk dilukis semula oleh pelukis pelan dengan membuat beberapa pengubahsuaian.
Apa-apapun penulis blog akan menunggu mesyuarat AJK untuk mengemukakan cadangan ini.
No comments:
Post a Comment