Untuk makluman penduduk, penulis blog selaku Bendahari JK pembinaan surau as-Syakirin telah mempunyai pengalaman membangunkan surau sebelum ini. Pertama, penulis blog terlibat dengan pembangunan pembinaan surau As-Syumul Bandar Rinching.
Kali kedua apabila Surau Al Makmur seksyen 4 ingin dibangunkan, selaku penduduk fasa 2 Bandar Rinching dan kedudukan surau itu lebih dekat dengan rumah , penulis blog telah memberikan buah fikiran dan memberikan contoh kertas kerja pembangunan surau As-Syumul kepada JK penaja Surau Al Makmur.
Penulis blog memberi sokongan yang kuat supaya pembangunan surau Al Makmur menjadi kenyataan.
Kemudian berikutnya terdapat usaha untuk membangunkan masjid di Bandar Rinching. Penulis blog tidak terlibat dengan AJK penaja pembangunan masjid itu. Sehingga kini tidak diketahui apa yang berlaku hingga masjid tersebut gagal dibangunkan.
Bagi kali ketiga ini, penulis blog amat berharap supaya pembangunan surau As Syakirin menjadi kenyataan. Bagi penulis blog, bukannya solat berjemaah itu yang penting sangat. Apa yang penting adalah penduduk-penduduk fasa 6 dan 7 mempunyai tempat untuk berkumpul dan berkenal-kenalan sesama sendiri. Berkenal-kenalan antara satu sama lain boleh mengeratkan silaturrahim. Selain itu komuniti fasa 6 dan 7 boleh juga diibaratkan sebagai jiran tetangga penulis blog.
Dalam mana-mana masyarakat sekalipun, peranan jiran amat besar. Jiran adalah tempat kita memohon pertolongan sekiranya kita ditimpa sesuatu kesusahan. Namun jiran apa namanya jika kita tidak mengenali antara satu sama lain.
Satu fakta, sejak penulis blog mula berpindah ke fasa 7 TPS ini pada November 2008, masih ramai penduduk-penduduk di fasa 6 dan 7 yang penulis blog tidak kenali. Yang penulis blog kenal, penulis blog boleh bilang dengan jari sahaja.
Kini penulis blog sendiri mengamalkan solat berjemaah di rumah bersama-sama dengan ahli keluarga penulis blog. Bagi penulis blog, tiada surau pun tidak mengapa.
Namun penulis blog sedia maklum bahawa bersolat di surau adalah lebih afdal dari di rumah. Surau bukan sahaja menjadi tempat untuk melaksanakan tuntutan solat berjemaah, tetapi ia adalah tempat yang strategik kepada komuniti Islam untuk bertemu, berbincang dan melaksanakan program-program kemasyarakatan.
Jadi kepada semua penduduk fasa 6 dan 7 TPS, sokonglah hasrat AJK untuk membangunkan surau As-Syakirin dengan menyalurkan sumbangan menambah dana pembinaannya seberapa segera. Lagi cepat dana terkumpul, lagi cepat pembinaan bakal dimulakan..
Memandangkan bendahari sudah mempunyai pengalaman membantu membangunkan surau sebelum ini jadi kerja-kerja untuk membangunkan surau ini akan mudah di urus. Tinggal lagi kita hanya perlu dana sahaja untuk membiaya kos pembinaannya.
No comments:
Post a Comment