Entiti surau amat penting dalam sesebuah komuniti penduduk muslim jika di kawasan tersebut kedudukan masjid yang berdekatan agak jauh. Di TPS ini masjid berdekatan adalah masjid pekan Semenyih dan masjid Kg Rinching. TPS pula terletak di bawah anak kariah masjid Kg Rinching yang terletak bersebelahan Kilang minyak Ngo Chee Hong di Rinching Hulu. Di bawah pengurusan masjid Kg Rinching pula adalah tanah wakaf atau tanah perkuburan orang Islam untuk penduduk Kg Rinching sendiri, Bandar Rinching dan Taman Pelangi Semenyih.
Jika berlaku kes kematian dalam satu-satu komuniti AJK surau terdekat akan dihubungi oleh waris-waris simati. Inilah sebab utama mengapa Surau as-Syakirin ini perlu dibina.
Dalam kes kematian ia adalah tuntutan fardhu kifayah bermaksud, cukuplah seorang dalam komuniti yang menyempurnakan fardhu tersebut maka tanggungan orang lain akan terlepas. Yakni berdosa hukumnya jika dalam sesuatu komuniti tiada orang yang sanggup atau mahu terlibat dengan pengurusan kes kamatian ahli komunitinya. Senang cerita jika salah seorang penduduk fasa 6 dan 7 TPS ini meninggal, jika orang luar yang menguruskannya maka seluruh penduduk di sini berdosa belaka.
Namun mengurus kes kematian bukan semudah disangka. Seorang mengurus tidak cukup. Perlu ada satu jawatankuasa yang mantap yang benar-benar berfungsi. Perlu ada tempat khusus untuk AJK nya bermesyuarat, merancang dan mengorganisasi supaya bila ada kes kematian berlaku, kesusahan penduduk yang mengalaminya dapat dibantu dan di uruskan dengan sempurna.
Sebab itu entiti surau amat penting. Rata-rata dimana-manapun ,AJK surau adalah orang yang berperanan di barisan hadapan bukannya mana-mana pihak yang lain. Urusan kematian tidak diurus oleh persatuan penduduk atau rukun tetangga atau mana-mana pertubuhan lain yang tiada kaitan dengan entiti keagamaan.
No comments:
Post a Comment