Besok tinggal sehari sahaja lagi surau As-Syakirin akan dibuka. Ini bermakna sasaran AJK iaitu sebulan sebelum Ramadhan surau ini akan dibuka dan digunakan buat pertama kalinya akan tercapai jika diizinkan oleh Allah SWT.
Pembukaan surau sebulan sebelum Ramadhan penting kerana AJK perlu membuat persiapan untuk menyambut ketibaan Ramadhan. Antara perkara yang perlu dibincang adalah pelantikan imam, bilal, siak dan lain-lain petugas semasa bulan Ramadhan. Selain menentukan tugas setiap AJK, beberapa program turut perlu dirancang seperti program tadarus Al-Quran, sambutan Nuzul Quran, majlis berbuka puasa bersama dan lain-lain yang berkaitan.
1 Ramadhan pada tahun 2010 ini jatuh pada 11 Ogos 2010. Sasaran AJK pula surau akan digunakan pada 11 Julai 2010. Namun oleh kerana pada 11 Julai 2010 adalah hari Ahad, pembukaan surau di awalkan sehari kerana pada hari Sabtu masa agak panjang untuk mengadakan aktiviti pada malam pembukaan kerana penduduk tidak pergi bekerja keesokan harinya.
Selain itu tarikh 10 Julai 2010 ini juga bertepatan dengan peristiwa Israq dan Mikraj iaitu Nabi Muhamad SAW diangkat ke langit ke Sidratul Muntaha menghadap Allah Yang Maha Esa secara lansung. Pada malam itu juga solat 5 waktu sehari semalam mula disyariatkan kepada umat Islam.
Sesuai dengan peristiwa Israq dan Mikraj itu, satu program Qiyamullail turut dilaksanakan bagi mengingati peristiwa yang bersejarah ini.
No comments:
Post a Comment