Friday, June 18, 2010

Ada pelan bilik mandi jenazah dalam kelengkapan surau


Untuk makluman penduduk dan penderma, Arkitex Lakareqa yang membina pelan binaan surau turut membina pelan bagi pembinaan bangunan kelengkapan dan kemudahan surau. Bukan AJK yang meminta pelan kemudahan surau dilukis sedemikian rupa. Apa yang diperlukan oleh AJK hanyalah tandas dan tempat wuduq sahaja.

Tetapi pelan yang dicadangkan oleh arkitex Lakareqa sungguh lengkap dengan pelbagai kemudahan surau. Pendek kata pada masa hadapan AJK tidak perlu membuat sebarang pembinaan tambahan lagi. Jika ada binaan tambahan dibuat, lazimnya bentuk bangunan surau dan kelengkapannya akan menjadi cacat dan menjadi hodoh kerana dibina tanpa mengikut perancangan yang rapi.

Terutama bilik mandi jenazah jika ia dibina, barangkali surau As-Syakirin satu-satunya surau di kawasan ini yang ada kemudahan ini. Lazimnya yang ada kemudahan bilik mandi jenazah adalah masjid. Untuk menguruskan jenazah anak kariah, surau biasanya hanya menyediakan tempat mandi jenazah sama ada jenis fiberglass atau jenis besi tahan karat yang beroda dan boleh ditolak.

(RALAT : Surau di Saujana Impian ada kelengkapan bilik mandi jenazah)

Pada pandangan penulis blog dengan adanya tempat mandi jenazah ini, ia akan memudahkan pengurusan jenazah. Sekiranya ada kematian, AJK surau akan mengambil jenazah daripada rumah penduduk dengan menggunakan van jenazah dan akan menguruskan semuanya di surau sahaja sehingga semua urusan selesai. Bukankah ini agak mudah berbanding jika mengurus di rumah penduduk. Cuma van jenazah perlu kerja lebih sedikit kerana perlu datang awal. Kebetulan pula di sebelah bilik mandi jenazah itu terdapat teres yang boleh dijadikan tempat meletakkan van jenazah. Pada masa depan bergantung kepada kemampuan AJK ,mungkin kemudahan van jenazah boleh diadakan dengan memohon sumbangan daripada syarikat atau tokoh korporat tertentu.

Bukankah menempah troli lebih murah? Betul. Ini adalah termurah. Namun kos untuk menempah troli ini juga jika tidak silap boleh sampai RM5000 iaitu menggunakan besi stainless stell tahan karat serta beroda untut memudahkan di bawa ke rumah simati. Yang fiberglass pula? tempat mandi jenazah jenis fiberglass ini sudah tidak popular selain tidak tahan lama kerana pudar dan akan mereput. Jenis fiberglass juga perlu diangkut dengan kenderaan.Ia tidak muat dalam kereta biasa. Ia perlu diangkut dengan van. Siapa pula yang sanggup meminjamkan van mereka?

Terfikir penulis blog bagaimanakah mereka yang duduk di bangunan tinggi seperti kondominium,apartment dan flat mahu memandikan jenazah ahli keluarga mereka yang meninggal dunia berbanding penduduk di sini yang memiliki rumah teres. Pendekata dengan adanya kemudahan bilik mandi jenazah ini hanya jurumandi yang terlibat secara lansung dengan pengurusan jenazah sahaja yang tahu betapa mudah dan selesanya memandi dan mengkafankan jenazah di dalam bilik khas seperti yang terdapat di bilik mandi jenazah di hospital dan masjid.

Pembinaan dapur, setor dan ruang kerja pula membolehkan aktiviti memasak diadakan. Dari masa ke semasa surau lazimnya akan mengadakan jamuan sekiranya ada aktiviti. Contoh aktiviti surau yang akan memanfaatkan ruangan ini seperti memasak bubur lambuk dalam bulan Ramadhan, memasak bubur asyura,memasak lemang, ketupat atau seumpamanya sekiranya surau akan menganjurkan majlis jamuan Aidilfitri dan lain-lain yang bersesuaian.

Dengan adanya setor pihak surau juga dapat menyimpan pelbagai aset kelengkapan memasak dan kelengkapan dapur. Aset surau ini boleh digunakan oleh penduduk yang ingin membuat kenduri dengan dikenakan bayaran sewa yang minimum. Sewa ini boleh pula menjana pendapatan surau.

Selain itu penduduk yang ingin mengadakan majlis rewang perkahwinan anak mereka boleh memanfaatkan kemudahan ini dengan mengadakan aktiviti gotong-royong memasak yang boleh menjimatkan kos berbanding membayar syarikat catering yang rata-rata berharga RM10 atau lebih satu kepala. Dengan gotong-royong, kos satu kepala boleh dikurangkan sehingga RM5.

Ruang kerja pula boleh dimanfaat untuk pengagihan daging korban sekiranya ibadah ini dibuat di surau As-Syakirin atau aktiviti lain yang bersesuaian.

Melalui semua aktiviti gotong-royong ini penduduk sentiasa mempunyai peluang bersama-sama melakukan aktiviti kemasyarakatan. Maka hubungan silaturhami akan terjalin. Yang tidak kenal akan dapat mengenali jiran tetangga mereka dengan lebih dekat.

Membina kolah berwuduq terbuka pula dapat menjimatkan penggunaan air selain tandas yang sempurna dan bersistematik kerana bersambung dengan paip pembetung IWK serta tempat wuduq wanita yang tertutup boleh memberi keselesaan kepada pengguna.

Mungkin silap arkitex atau AJK adalah membina pelan kemudahan surau yang lengkap,dirancang dengan rapi,berwajah cantik apabila siap seperti bangunan surau As-Syakirin sendiri dan kos pembinaannya yang mungkin agak mahal.

No comments:

Post a Comment