Bagi penempatan baru atau taman perumahan baru yang disediakan tapak surau oleh pemaju penduduk perlu bersyukur. Ini kerana bukan semua taman perumahan disediakan tapak surau. Kadangkala berlaku juga kes komuniti Islam mendirikan surau secara haram di taman perumahan mereka gara-gara tidak disediakan tapak surau oleh pemaju.
Sudah ada tapak, pembinaan surau tiada siapa yang akan menanggung kosnya. Kerajaan pusat atau kerajaan negeri tidak memberi peruntukan kepada penduduk. Sesetengah pemaju perumahan pula menyediakan surau untuk penduduk contohnya projek perumahan Lembaga Tabung Haji.
Bagi pemaju yang tidak menyediakan surau tetapi sebaliknya menyediakan tapak, siapa pula yang perlu mengambil inisiatif? jawabnya ialah penduduk sendiri. Penduduk tidak perlu berpiket memohon kerajaan atau pemaju yang menyiapkannya. Semuanya adalah atas komitmen penduduk sendiri. Penduduk perlu berkorban wang ringgit, tenaga dan masa.
Di sebuah penempatan baru, seseorang perlu ke hadapan. Masing-masing tidak mengenali antara satu sama lain. Perbincangan tidak rasmi dibuat. Akhirnya beberapa AJK penaja dilantik secara tangkap muat tanpa mengetahui tahap kemampuan mereka. Bukan semua orang sanggup pula menjadi AJK.
Kini usaha sudah dirintis, AJK pembinaan Surau As-Syakirin sudah ada. Tindakan berunsur kemajuan sudah dilaksanakan. Namun komitmen penduduk masih kurang. Masih ramai penduduk mengambil sikap tunggu dan lihat. Pendirian penduduk tidak diketahui. Mahu surau kah atau tidak? Tiada kaji selidik dibuat.
Kepada penduduk, seawal sesi taklimat lagi penerangan telah dijelaskan iaitu penduduk perlu berkorban jika mahu pembinaan Surau As-Syakirin ini menjadi kenyataan. Taklimat menjelaskan AJK akan menyasarkan sumber dana pembinaan surau dari 3 pihak iaitu :
1. Penduduk sendiri- Sasaran AJK RM150,000 kutipan dari penduduk
Penduduk perlu berkorban wang ringgit terlebih dahulu kerana Surau As-Syakirin adalah surau kita. Kita yang bertanggungjawab untuk membinanya. AJK telah membuat penetapan setiap rumah perlu membuat pelaburan atau menginfaqkan hartanya sebanyak RM100. RM100 bukanlah satu jumlah yang besar. Katakan kita hidup selama 20 tahun lagi. Dibahagikan 20 tahun dengan RM100. Hanya beberapa sen saja sehari.
2. Mencari sumber kewangan dari luar / sumbangan individu,syarikat,organiasi - Sasaran AJK ialah RM100,000
Kutipan dari luar ini bertujuan memberi ruang dan peluang kepada individu tertentu/syarikat atau organisasi tertentu melakukan kebajikan. Kepada syarikat, ini mungkin salah satu cara mereka melaksanakan tanggungjawab sosial.
3. Bantuan dari pusat zakat- sasaran AJK RM50,000.
Memohon bantuan dari pusat zakat adalah pilihan terakhir AJK. Sekiranya dana mencukupi jika berlaku lebihan sumbangan dari penduduk dan pihak luar, AJK tidak akan memohon bantuan dari pusat zakat. Wang pusat zakat sepatutnya digunakan untuk memberi bantuan kepada fakir miskin walaupun membina surau adalah dibenarkan oleh agama atas dasar fisabillah (menaikkan syiar agamaNya)
Pusat zakat juga telah memaklumkan AJK bahawa untuk mendapatkan bantuan pusat zakat, penduduk perlu berkorban terlebih dahulu. Surau perlu dibina sekurang-kurangnya 50% dan pegawai dari pusat zakat akan datang membuat pemeriksaan bagi mengesahkan status kemajuan kerja pembinaan, mengambil gambar dan seterusnya membawa ke dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah.
No comments:
Post a Comment