Monday, November 30, 2009

Penyata kewangan berakhir 1 Disember 2009

Sedang dalam proses disediakan.

Mesyuarat AJK yg berikutnya..

Kepada semua AJK dimaklumkan satu mesyuarat akan diadakan pada ketetapan berikut:

Tarikh: 5 Disember 2009
Hari: Sabtu
Masa: 10 pagi
Tempat : Rumah pengerusi. No 40 Jln TPS 4/5
Agenda:

1. Ucapan aluan pengerusi
2. Maklumbalas mesyuarat yang lalu
3. Pembentangan laporan kewangan berakhir 1 Disember 2009
4. Hal-hal lain
5. Penangguhan mesyuarat

Sehubungan itu dimohon semua AJK tidak menguzurkan diri. Turut diperlukan hadir dalam mesyuarat adalah En Nik Arkitex Lakareka dan Kontraktor AZ Azia Enterprise, En Zakri.

Monday, November 23, 2009

Sumbangan sekecil RM1.00 juga diterima

Untuk makluman penderma sumbangan sekecil RM1 juga diterima oleh AJK. Namun untuk mengkredit sumbangan terus ke mesin deposit EON Bank, jumlah minimum dibenarkan adalah RM10.

Untuk mengkredit sumbangan cukup mudah. Caranya adalah seperti berikut:

1. Pergi ke mana-mana cawangan EON Bank
2. Pastikan ada mesin deposit tunai di cawangan tersebut
3. Sediakan jumlah sumbangan yang hendak dideposit misalnya RM50
4. Tekan sebarang kekunci pada mesin
5. Mesin akan memaparkan jenis urusan -pilih bahasa melayu atau bahasa inggeris
6. Mesin akan memaparkan jenis akaun - pilih akaun semasa/simpanan
7. Masukkan nombor akaun iaitu 0675110002233
8. Jika betul nombor akaun 0675110002233 dan nama akaun SURAU AS-SYAKIRIN akan dipaparkan di skrin
9. Dalam masa yang sama slot deposit wang akan terbuka
10. Masukkan wang tunai contohnya RM50 ke dalam slot
11. Apabila telah dimasukkan tekan teruskan
12. Duit akan dikira. Tekan betul jika jumlah wang dimasukkan tepat.
13. Mesin akan mencetak resit deposit
14. Apabila resit dikeluarkan, ambil dan simpan
15. Hantar resit kepada AJK Pembinaan Surau As-Syakirin , d/a No 40 Jln TPS 4/5 Taman Pelangi Semenyih, 43500 Semenyih, Selangor untun tujuan pengeluaran resit rasmi sumbangan.
16. Penderma boleh scan resit tersebut dan emailkan kepada assyakirin.tps@gmail.com atau boleh juga SMS kepada 013-2937679 memaklumkan sumbangan telah dibuat dan catatkan sekali nombor rujukan transaksi.

Harga binaan surau

Harga kos binaan surau iaitu berjumlah RM196,500. Namun dana terkumpul setakat ini cuma berjumlah lebihkurang RM83,000. AJK masih kekurangan dana sebanyak lebihkurang RM113,500 lagi bagi memastikan pembinaan surau As-Syakirin tidak terhenti ditengah jalan.

Kos ini tidak termasuk pembinaan bilik wuduq lelaki dan perempuan, bilik air lelaki dan perempuan serta bilik mandi jenazah.

Perkiraan wang derma

Pada sesi taklimat pembinaan Surau As-Syakirin yang telah dibuat beberapa bulan yang lalu berikut adalah sumber dana surau:

1. Kutipan dari setiap penduduk yang mewakili satu unit rumah : RM 100 setiap rumah ( AJK menyasarkan RM150,000 sumbangan diterima daripada penduduk dengan andaian bilangan rumah di fasa 6 dan 7 berjumlah lebihkurang 1000 unit)
2. Memohon sumbangan daripada komuniti luar : Sasaran Rm100,000
3. Memohon sumbangan dari Lembaga Zakat Selangor : Jumlah maksimum RM50,000
4. Memohon sumbangan daripada Jabatan Perdana Menteri melalui YB ADUN Semenyih- Jumlah dan kebarangkalian diluluskan tidak dapat dipastikan

Sehingga setakat ini jumlah dana terkumpul berjumlah lebihkurang RM83,000. Didapati lebih kurang RM30,000 adalah daripada sumbangan penduduk manakala lebihkurang RM50,000 daripada sumbangan luar komuniti. Berdasarkan jumlah ini sasaran 50% telah dapat dicapai untuk sumbangan daripada luar komuniti manakala sumbangan daripada penduduk sendiri masih jauh dari sasaran.

Berikut jumlah sumbangan daripada penduduk yang akan terkumpul jika semua memberikan komitmen:

1.Jika 500 rumah dengan setiap rumah menyumbang RM100 = RM50,000
2. Jika 500 rumah dengan setiap rumah menyumbang RM200 = RM100,000
3. Jika 1000 rumah dengan setiap rumah menyumbang RM100=RM100,000

Namun didapati terdapat juga penduduk yang telah memberi sumbangan melebihi jumlah minumum ditetapkan AJK iaitu RM100. Ada beberapa penduduk telah sudi memberikan sumbangan dalam jumlah yang agak besar seperti RM500,RM1000, RM2000 dan RM3000.
Jika ramai penduduk dapat memberikan sumbangan dalam jumlah sebegini, dijangkakan jumlah dana terkumpul akan cepat mencapai sasaran.

Sunday, November 22, 2009

Semakan List derma berakhir 1 Dis 2009

Dalam proses kemaskini..

RM10 transfer from cimbclicks

CIMB Clicks to me show details 18 Nov (4 days ago)
Greetings from CIMB Clicks! You've just received RM 10.00 from SALLEH IMRAN BIN RAMLI deposited into your A/C No : 0675110002233 on 18-Nov-2009 10:34:40 AM via CIMB Clicks. Thank you & have a good day ahead! Warm RegardsCIMB Clicks Team
*********************************************************************** Privileged/confidential information may be contained in this message. If you are not the named recipient or addressee, you are hereby notified that any use review, disclosure or copying of the contents herein is strictly prohibited. In such a case, kindly discard all its contents and notify sender accordingly regarding such unauthorized disclosure or transmission by email. Opinions, conclusions, statements and other information in this message that do not relate to the official business of CIMB Group shall be understood as neither given or endorsed by it. The contents herein are meant strictly for the use of the named recipient or addressee of CIMB Group. No assumption of responsibility or liability whatsoever is undertaken by CIMB Group in respect of prohibited and unauthorised use by any other person. ***********************************************************************

Tuesday, November 17, 2009

Sekarang musim hujan

En Zakri kontraktor pembinaan AZ Asia Enterprise memaklumkan, kerja-kerja pembinaan tidak dapat dimulakan kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan pada ketika ini. Hari-hari hujan. Kenalah kita redha dengan ketentuan Tuhan Pencipta alam ini.

Hujan ini kadangkala bukan untuk manusia tetapi untuk pokok-pokok dan juga hidupan lain yang memerlukan. Hujan ini pada satu ketika mendatangkan rahmat dan kadangkala adalah dalam bentuk bala akibat kemungkaran Tuhan dari perbuatan yang dicipta manusia. Jangan kita marah pula pada hujan yang turun. Nanti tiada hujan kita juga yang susah. Penulis blog lebih sanggup menerima hujan dari cuaca panas akibat kemarau.

Tidak mengapalah pembinaan surau As-Syakirin tertunda sekejap. AJK telah meminta kontraktor membuat jalan masuk ke tapak surau dahulu semasa menunggu kelulusan rancangan pembangunan Surau As-Syakirin daripada MPKj. Ini kerana ada longkang untuk masuk ke tapak surau. Lori untuk menghantar bahan binaan tidak boleh masuk. Kena buat jalan masuk dengan konkrit dulu.

Mengikut En Zakri beliau akan memasang papan tanda projek dulu. Mana-manalah En Zakri. Janji ada kemajuan tindakan...

Mohon penduduk pulangkan borang list

Kepada penduduk yang telah sudi membantu untuk mencari dana pembinaan Surau As-Syakirin mohon tuan/puan pulangkan kembali borang kepada bendahari beserta dengan wangnya sekali atau slip deposit bank sekiranya tuan/puan terus memasukkan wang sumbangan ke bank.

Borang-borang tersebut akan di audit dan laporan lengkap berdasarkan jumlah kutipan terkumpul akan disediakan oleh bendahari untuk tujuan laporan kepada Majlis Agama Islam Negeri Selangor.

Pada 1 Disember 2009 ini kebenaran untuk AJK memungut derma tamat. Namun kebenaran ini tidak tertakluk kepada penduduk di komuniti fasa 6 dan 7 Taman Pelangi Semenyih. Ini kerana surau yang akan dibangunkan adalah untuk kita sendiri. Komitmen kita amat diperlukan. Walaupun tempoh kutipan tamat, penduduk dirayu untuk memberikan sedikit pengorbanan harta bagi menampung kos pembinaan Surau As-Syakirin.

Sehubungan itu kepada penderma-penderma yang sudi menderma bagi membantu kami membangunkan Surau As-Syakirin, tuan/puan boleh terus mendeposit sumbangan menggunakan maklumat akaun seperti di bawah walaupun tempoh kebenaran kutipan derma tamat. Ini kerana jumlah danaterkumpul masih jauh dari kos pembinaan surau As-Syakirin iaitu berjumlah RM196500.00

Kami akan berhenti dari memohon kutipan derma dari penduduk dan orang ramai hanya apabila dana terkumpul telah mencukupi dan mencapai sasaran.

Untuk menyumbang tuan/puan boleh terus mengkredit sumbangan menggunakan maklumat akaun surau seperti berikut:

No Akaun : 0675-11-000223-3
Nama Akaun : SURAU AS-SYAKIRIN
Bank : EON Bank

Untuk menderma, Penderma boleh menggunakan kaedah seperti di bawah
1. Menghantar terus derma ke rumah bendahari di No 13 Jln TPS 4/8 Taman Pelangi Semenyih. Telefon atau SMS 013-2937679 untuk temujanji.
2. Mengirim cek atau kiriman wang ke alamat Jawatankuasa pembinaan Surau As-Syakirin, d/a No 40 Jln TPS 4/5 Taman Pelangi Semenyih, 43500 Semenyih, Selangor
3. Terus mendeposit cek atau wang tunai menggunakan mesin desposit cek atau tunai dimana-mana cawangan EON Bank
4. Melakukan transaksi perbankan internet seperti dihttp://www.maybank2u.com.my/ , http://www.cimbclicks.com.my/ atau perbankan internet bank-bank tempatan yang lain.

Penderma juga boleh memberikan sumbangan dalam bentuk bahan binaan. Untuk tujuan ini sila SMS 013-2937679 untuk mendapatkan spesifikasi bahan binaan yang telah ditetapkan oleh kontraktor.

Namun derma dalam bentuk wang ringgit adalah lebih digalakkan untuk memudahkan pengurusan.

Monday, November 16, 2009

Fikirkan menjana ekonomi

Duit kita ada hak orang lain didalamnya.

Kita ada duit. Kita derma untuk bina surau. Duit itu kita beri pada kontraktor. Kontraktor dengan pekerja-pekerjanya akan dapat upah atau gaji hasil dari membina surau itu. Kontraktor juga beli bahan binaan dari pekedai hardware. Di kedai hardware pula ada beberapa orang pekerja. Mereka mendapat gaji dari majikannya. Bahan binaan itu pula dibuat di kilang. Di kilang ramai lagi pekerja mendapat upah hasil titik peluh mereka.

Sudah dapat gaji, pekerja-pekerja tadi beli pula barang di kedai. Pekedai pula dapat duit. Pekedai perlu barang untuk beli dari pembekal. Pembekal pula bayar untuk dapatkan dari pengeluar atau pekilang. Semuanya dapat ganjaran dari duit itu tadi. Duit kita berpusing-pusing. Semua orang mendapat manfaat darinya. Ini menjana ekonomi namanya.

Semasa orang yang mendapat manfaat dari bayaran kos pembinaan surau itu tadi membeli barang-barang , ada cukai didalamnya. Mereka secara tidak lansung membayar cukai barangan tersebut. Kita tidak sedar. Cukai itu berbalik kepada kerajaan. Cukai yang kerajaan dapat itu diberi semula kepada rakyat.

Merugikan dana kerajaan dan duit orang ramai

Betulkah rugi...penulis blog sendiri telah menderma sebanyak RM550. Terdapat juga kos-kos lain yang penulis blog telah keluarkan dari poket sendiri untuk belanja pengurusan. Masa penulis blog juga terbuang begitu sahaja untuk membuat kerja-kerja pengurusan dalam membangunkan surau As-Syakirin ini termasuklah mengemaskini blog ini yang memerlukan pengorbanan masa serta perahan minda. Orang kata tak ada kerja cari kerja. Menyusahkan diri namanya.

Namun penulis blog lansung tidak terasa rugi untuk mengeluarkan wang tersebut. Sekurang-kurangnya sebanyak RM550 penulis blog telah infaqkan ke arah kebaikan. Surau yang dibangunkan ini akan digunakan bergenerasi lamanya. Selepas penulis blog tiada dalam dunia ini, ia akan tetap digunakan.

Jika tidak beri sumbangan pula, wang tersebut penulis blog akan belanjakan ke arah lain. Duit penulis blog akan habis juga akhirnya. Kadangkala perbelanjaan tersebut lansung tidak bermanfaat. RM550 ini kadangkala penulis blog habiskan makan bersama keluarga di restoran dalam tempoh 2 atau 3 bulan sahaja. RM550 bagi penulis blog tidaklah banyak mana. Inikan pula RM100.

Sungguhpun begitu, penulis blog sedia maklum RM100 ini juga adalah jumlah yang agak besar bagi sesetengah individu. Penulis blog satu masa dahulu datang dari keluarga begini.

Tetapi rumah penduduk di fasa 6 dan 7 ini bukankah berharga lebih dari RM100,000?

Jika merugikan dana kerajaan dijadikan alasan, banyak lagi benda lain yang boleh dibuat perbandingan. Penulis blog tidak mahu mencatatnya di sini. Ada pro dan kontra nanti. Penulis blog mungkin akan kata rugi. Orang lain pula kata tidak dan begitulah sebaliknya.

Surau ini adalah merupakan satu infrastruktur atau kemudahan awam samalah keadaannya seperti penduduk perlukan jalanraya, perlukan sekolah, perlukan dewan dan sebagainya. Surau ini apabila dibangunkan akan digunakan oleh penduduk. Mustahil ia akan kosong atau hanya seorang dua sahaja menggunakannya...

Penyata berakhir 30 oktober sudah ada

Penyata tersebut ada dengan pengerusi. Tn Hj Raja Zazman memaklumkan baki semasa adalah RM80,000. Penulis blog akan mendapatkan penyata tersebut dari pengerusi nanti. Sudah dapat, penulis blog akan scan dan letakkan di sini..

Status terkini

Penulis blog telah menghubungi kontraktor AZ Asia Enterprise berkaitan keputusan AJK.

AJK mahukan kontraktor membina dulu jalan masuk ke tapak surau kerana ia melibatkan memasang konkrit di atas longkang supaya lori dapat masuk menghantar bahan binaan selain mula membuat frame kayu untuk pemasangan beam atau konkrit tiang.

En Zakri pula memaklumkan jalan masuk tidak boleh dibuat dulu kerana beliau menunggu plan struktur dari En Nik. Pelan terdahulu terdapat sedikit kesilapan kerana arah kiblatnya lari sedikit. En Nik perlu membetulkannya mengikut bearing arah kiblat yang telah ditentukan pegawai daripada Jabatan Mufti yang telah melakukan prosedur menentukan arah kiblat di tapak surau As-Syakirin. En Nik akan bekerjasama dengan surveyor.

Pelan struktur atau engineering plan pula masih dalam proses untuk disiapkan. Plan ini penting untuk kontraktor mengetahui material yang digunakan.

Penulis blog tidak faham sangat aspek-aspek teknikal pembinaan ini. Apa yang penting ialah penulis blog mahu surau segera dibangunkan..Tak sabar rasanya untuk menggunakannya dan berjumpa serta berkenalan dengan semua penduduk fasa 6 dan 7 TPS ini.

Lembaga zakat pula perlu maklumat

Hari ini penulis blog dihubungi pengerusi memaklumkan Lembaga Zakat meminta AJK menghantar kertas kerja , 3 bulan penyata bank , gambar tapak surau dan gambar surau sementara atau surau terdekat yang penduduk kunjungi untuk menumpang berjemaah.

Seperti kata penulis blog, memohon peruntukan dari Lembaga zakat adalah langkah terakhir akan dipilih untuk menampung kos pembinaan surau As-Syakirin.

Secara peribadi penulis blog lebih suka wang zakat diperuntukkan bagi membantu fakir miskin. Orang-orang Islam yang melarat, ibu-ibu tunggal yang kesempitan hidup, membantu membina atau membaiki rumah-rumah rakyat yang daif, membiayai kos pengurusan rumah anak-anak yatim, memberi biasiswa pendidikan kepada pelajar yang tidak mampu dan kepada orang lain yang lebih memerlukan.

Kepada penduduk di komuniti ini, surau yang hendak dibangunkan adalah untuk kegunaan kita sendiri. Sangat patut kos pembinaannya di sumbangkan oleh kita sendiri. Tidak banyak sedikit. Sekurang-kurangnya kita memberikan sumbangan ke atas pembinaannya. Jangan biarkan pihak lain membiayai surau kita sepenuhnya untuk kita gunakan tanpa kita terlibat dengan usaha membangunkannya.

Kepada penderma dari luar komuniti kami, tuan/puan boleh terus menyumbang. Bantuan dari tuan/puan juga amat kami hargai.

Pegawai dari JPM telah datang

Pada hari Khamis minggu lepas pegawai dari Jabatan Pembangunan Persekutuan Jabatan Perdana Menteri telah melawat lokasi tapak surau As-Syakirin. Penulis blog tidak dapat hadir kerana bertugas. En Azwan, setiausaha telah hadir bersama Tn Hj Halim mengiringi 3 pegawai tersebut. Setakat ini penulis blog tidak mendapat apa2 maklumat kerana tiada kesempatan berjumpa sdr Azwan. Difahamkan pegawai tersebut meminta kertas kerja permohonan pembinaan surau dan juga maklumat latarbelakang penduduk fasa 6 fan 7 Taman Pelangi Semenyih. Penulis blog belum sempat bertindak kerana kekangan masa. Namun kertas kerja yang sama penulis blog telah beri kepada YB ADUN Semenyih beberapa bulan yang lalu.

Setakat ini perkembangan selanjutnya tidak diketahui. AJK akan menunggu. Namun kepada semua penderma tuan/puan boleh terus menghulurkan sumbangan bagi menambah dana pembinaan surau As-Syakirin. Seperti diputuskan oleh AJK , kita tidak akan menunggu peruntukan dari JPM diperolehi kerana keputusannya tidak dapat dipastikan.

Duit dari penderma yang sudah terkumpul setakat ini yang hampir mencecah RM80,000 akan dimanfaatkan untuk memulakan pembinaan.

Wednesday, November 11, 2009

rancangan pembangunan surau telah dihantar ke MPKj

pagi tadi tn Hj Raja Zazman dan Hj Razak telah pergi ke JAIS di Shah Alam untuk mendapatakn tandatangan pegawai JAIS pada pelan rancangan pembangunan surau As-Syakirin. Balik dari Shah Alam kedua-dua AJK telah pergi ke MPKj untuk submit dokumen tersebut. AJK difahamkan MPKj akan membawa ke dalam mesyuarat ahli majlis untuk tujuan kelulusan. Dalam bulan Disember 2009 nanti, baru keputusan akan diperolehi.

Dalam tempoh itu, AJK berharap para penderma dapat terus memberikan sumbangan mengisi dana pembinaan Surau As-Syakirin. Untuk dana fasa kedua ini adalah bagi pembinaan kerangka bumbung dan memasang bumbung jenis aluminium GI dan atap jenis genting simen.

Tuesday, November 10, 2009

RM595 telah dikeluarkan

Sebanyak Rm595 telah dikeluarkan untuk membayar kos perkhidmatan consultan bagi menyediakan dokumen-dokumen berkaitan untuk proses submit rancangan pembangunan surau As-Syakirin kepada Majlis Perbandaran Kajang bagi tujuan mendapatkan kelulusan membangunkan surau As-Syakirin.

Sudah lulus nanti, pembinaan surau As-Syakirin telah sedia dimulakan..

Resit tuan/puan ada

Kepada penderma dari luar komuniti kami tuan/puan jangan bimbang jika tidak menerima resit. Resit akan diposkan ke alamat tuan/puan. Penulis blog selaku bendahari memohon maaf sekiranya tuan/puan lambat menerima resit.

Untuk makluman tuan/puan. Sebaik sahaja bendahari menerima wang sumbangan, bendahari dengan segera terus mencatat sumbangan ke dalam buku lejer dan menulis resit rasmi. Kemudian dengan kadar segera pula wang tersebut akan dimasukkan ke bank.

Kadangkala resit lambat diposkan ke alamat penderma kerana bendahari kesuntukan masa untuk pergi ke pejabat pos. Namun tuan/puan usah khuatir kerana sumbangan tuan/puan InsyaAllah akan diurus sebaik mungkin. Sila masuk ke blog surau As-Syakirin bagi memastikan nama tuan/puan telah dicatat sebagai penderma. Sekiranya tidak tercatat sila maklumkan penulis blog dengan SMS ke 013-2937679 atau email ke jamalul_lail@yahoo.com untuk dibuat semakan.

Sebagai alternatif tuan/puan boleh terus mencetak dari entry blog bertajuk sumbangan dari luar komuniti fasa 6 dan 7 Taman Pelangi Semenyih secara online. Sebelum mencetak tukar setting page dari potrait kepada landscape terlebih dahulu. Jangan printscreent page kerana ia akan menghilangkan URL laman blog surau As-Syakirin.

Bagi derma daripada penduduk pula, resit akan terus dihantar ke rumah mereka dengan kadar segera.

HRC

Pagi tadi Tn Hj Razak telah menerima draf rancangan pembangunan surau As-Syakirin dari pihak consultan HRC untuk dihantar bagi tujuan kelulusan kepada Majlis Perbandaran Kajang. Namun dalam pelan yang baru, tandatangan pengesahan dari pegawai Jabatan Agama Islam Selangor diperlukan. Sehubungan itu pada besok pagi 11 Nov 2009 , Tn Hj Raja Zazman dan Tn Hj Razak akan ke Jabatan Agama Islam Selangor di Shah Alam membawa dokumen berkaitan untuk ditandatangani oleh pegawai JAIS. Selepas tandatangan diperolehi, dokumen tersebut akan dihantar ke MPKj.

Sekian untuk makluman penduduk.

Surau bukan untuk lelaki dewasa sahaja

Surau yang dibangunkan bakal digunakan oleh kaum wanita dan kanak-kanak serta orang tua. Tapi rata-rata penduduk di komuniti fasa 6 dan 7 belum ada yang berstatus 'orang tua' lagi. Kebanyakan penduduk berumur dalam lingkungan 30 ke 40 an. Namun dalam 20 tahun lagi akan ada ramai orang tua di sini. Penulis blog dalam 20 tahun lagi sudah mencecah usia lebih separuh abad. Sudah 60 tahun lebih usia penulis blog ketika itu. Sudah berstatus warga emas. Itupun jika hayat masih ada.

Bagi wanita dan kanak-kanak,jauh dari rumah memberikan ancaman keselamatan kepada mereka. Surau yang dibangunkan ini sudah pasti akan dikunjungi oleh kaum wanita dan kanak-kanak jika lokasinya hampir dengan rumah mereka.

Wednesday, November 4, 2009

Komitmen bulanan kita

Banyak betul komitmen bil-bil bulanan yang perlu kita bayar. Macamana kita nak beri sumbangan menambah dana pembinaan Surau As-Syakirin ni...

Pada perkiraan penulis blog, di bawah adalah komitmen bil-bil yang perlu dibayar oleh penduduk setiap bulan:

Membayar hutang pinjaman bank
1. Ansuran membeli rumah - RM800 - RM1000
2. Ansuran membeli kereta - RM600 - RM900
3. Ansuran membeli motosikal - RM200
4. Ansuran pinjaman peribadi - RM200

Lain-lain komitmen bayaran
1. Caruman insuran hayat/insuran kesihatan/insuran pendidikan- RM50
2. Bayaran balik pinjaman pelajaran (MARA,JPA,PTPTN, bank) - RM100

Membayar bil-bil utiliti
1. Bil letrik - RM50 - RM100
2. Bil air - RM10
3. Bil telefon dan internet -RM60
4. Topup / Bil Handphone - RM50
5. Cukai pintu / cukai tanah / IWK (setahun 2X)

Bil perkhidmatan hiburan / media
1. Langganan ASTRO - RM80
2. Langganan suratkhabar / majalah - RM30

Pengangkutan
1. Petrol kereta - RM500
2. Pengangkutan awam - tiada
3. Insuran dan roadtax (setahun sekali)- RM300 - RM500
4. Service kereta dan motosikal - RM100

Belanja dapur
1. Bahan mentah masakan - RM500
2. Gas masak - RM20

Makan di luar
1. Restoran makanan segera - RM100
2. Restoran mamak / restoran nasi campur ( kes malas nak masak ) - RM100

Keperluan persekolahan anak
1. Belanja sekolah - RM100 X 4 orang anak = RM400
2. Pelbagai yuran - RM100

Keperluan peribadi
1. Rokok - RM100
2. Syampoo, sabun, minyak rambut, ubat gigi, gunting rambut - RM50
3. Pakaian , kasut - RM50

Lain-lain komitmen / sekali-sekala
1. Renovation rumah - RM10,000 - RM20,000
2. Melancong - sewa hotel
3. Balik kampung
4. Tengok wayang
5. Tiket bola
6. Tiket taman tema
7. Beli handphone dan komputer baru - RM500 ke RM2000
8. Beli TV LCD / TV Plasma baru - Rm1200
9. Beli perabot baru - RM1000
10. Tukar langsir - RM500
11. Beli set pinggan mangkuk

Mmmm... banyaknya komitmen bulanan kita. Memang patutlah kita tidak dapat menyumbang bagi mengisi dana pembinaan surau As-Syakirin. Tak cukup duit...Nak beri tu memang nak beri.. tapi RM100 tu jumlah yang agak besar juga...

Kepada penduduk, duit banyak mana sekalipun tidak akan cukup. Marilah kita berkorban. Sekali sahaja sepanjang kita mendiami komuniti kita ini. Jangan fikir panjang lagi...kita tidak akan rugi jika kita membuat sumbangan menambah dana pembinaan Surau As-Syakirin. Banyak manfaat yang akan kita perolehi apabila surau ini siap nanti..

Tuesday, November 3, 2009

RM100,000 sasaran kedua

Lebih kurang RM73,000 telah berjaya dikumpul dan wang sumbangan orang ramai tersebut selamat tersimpan di bank.

Dengan wang tersebut Ajk telah boleh memulakan pembinaan. Untuk peringkat ini sturktur bangunan dapat disiapkkan 1oo%. Struktur bangunan meliputi kerja-kerja awal pertapakan bangunan, ground beam, lantai konkrit, tiang konkrit dan top beam untuk menampung kerangka bumbung.

Fasa seterusnya adalah pemasangan kerangka bumbung dan memasang bumbung daripada jenis genting simen. Tetapi untuk fasa ini dana nya tidak ada.

Sehubungan itu kepada para dermawan yang sudi membantu mengisi dana pembinaan Surau As-Syakirin kami AJK pembinaan mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga.

Kepada individu yang berniat untuk membuat kebajikan, ingin mewakafkan harta, ingin bernazar, ingin mendedikasikan derma untuk ahli keluarga tersayang yang telah meninggalkan alam yang fana ini, inilah masanya. Kami telah menyediakan ruang dan peluang kepada tuan/puan untuk berbuat demikian.

Jika ingin menyumbang, tuan/puan boleh terus mengkreditkan sumbangan dengan terus memasukkan wang sumbangan menggunakan mesin deposit tunai EON BANK. Akaun SURAU AS-SYAKIRIN dibuka di EON BANK cawangan Semenyih Sentral dengan nombor akaun 0675-11-000223-3 . Cukup mudah. Masukkan sahaja sumbangan tuan/puan terus ke akaun SURAU AS-SYAKIRIN. Mesin ATM ini dibuka sehingga malam hari. Tiada masa pada waktu siang kerana pergi berkerja, tuan/puan boleh pergi pada waktu malam..

Temujanji dengan kontraktor


Kelihatan Tn Hj Raja Zazman (Pengerusi) En Azwan (Setiausaha) dan En Zakri (Kontrator AZ Asia Enterprise).


En Zakri wakil Kontraktor AZ Asia Enterprise, En Nik, Arkitek Lakareqa dan En Idzam, Juru ukur sedang membaca pelan binaan surau di tapak Surau As-Syakirin. Turut kelihatan Tn Hj Raja Zazman Raja Hasan, Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Surau As-Syakirin.

Sunday, November 1, 2009

Arah kiblat












Tiga hari sebelum hari ini pegawai daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor memaklumkan mereka akan turun ke tapak surau untuk melakukan prosedur mencari arah kiblat. Pegawai tersebut juga meminta AJk menyediakan bahan-bahan asas iaitu kayu beroti, benang, cat dan paku. Berikutan pada hari pegawai ini datang penulis blog bekerja, penulis blog memohon AJK yang mempunyai masa luang supaya berada sama di tapak surau semasa pegawai jabatan mufti datang.

Foto: Pegawai dari Jabatan Mufti Negeri Selangor sedang melakukan prosedur mencari arah kiblat. AJK yang hadir di lokasi adalah Tn Hj Abdul Halim dan Tn Hj Razak.

Penderma mahu surau dibangunkan

AJK masih kekurangan dana untuk membangunkan surau As-Syakirin. Kepada penduduk penulis blog cuba meminta pendapat mereka bagaimana jika AJK membatalkan hasrat membina surau As-Syakirin dan wang derma yang mereka berikan dipulangkan kembali..

Inilah pandangan beberapa orang penduduk yang penulis blog telah minta. Mereka tidak mahu wang sumbangan mereka dikembalikan. Mereka mahu wang tersebut digunakan untuk membina surau As-Syakirin. Ada pula penderma sudah memberi sumbangan dengan niat mewakafkan harta mereka. Niat wakaf tersebut perlu disempurnakan. Niat itu tidak boleh ditarik balik. Barangkali ada juga yang berniat nazar. Nazar wajib pula dipatuhi. Berdosa jika nazar kita tidak dilaksanakan.

Kepada penderma, InsyaAllah niat tuan/puan akan menjadi kenyataan. AJK pasti akan membinanya melainkan Tuhan Pencipta Sekalian Alam, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang dan Yang Maha Esa tidak mengizinkan. Kita akan redha.

Aktiviti hari ini

Antara aktiviti AJK hari ini:

1. Penyerahan surat tawaran tender kepada kontraktor ( En Zakri )
2. Tandatangan perjanjian antara AJK dan kontraktor

Turut hadir di rumah pengerusi dan di lokasi tapak surau adalah:

1. En Nik - arkitek Lakareqa - penyedia pelan binaan dan pelan struktur
2. Surveyor/perunding ukur Setara Alam-Izam Ibrahim

AJK yang hadir:
1. Pengerusi Tn Hj Raja Zazman
2. Setiausaha En Azwan
3. Bendahari-penulis blog

Penduduk yang dijemput hadir sama
1. En. Nasri - staf TNB Bangi

Mesyuarat AJK kali ke 10

Kepada semua AJK tuan-tuan dijemput hadir ke mesyuarat yang akan diadakan mengikut ketetapan berikut:

Tarikh: Isnin 3 Nov 2009
Masa: 9:00 malam
Tempat: rumah pengerusi

Sekian dimaklumkan. Dimohon supaya semua AJK tidak menguzurkan diri. Sila maklumkan jika tidak dapat hadir.

Teruskan memberi sumbangan

AJK berharap penderma-penderma budiman akan terus menderma bagi menambah dana pembinaan surau As-Syakirin.

Dalam tempoh seminggu selepas mesyuarat sebelum ini lebih kurang RM1000 kutipan dari penderma berjaya diperolehi.Hari ini pula seorang penderma telah menyumbang RM3000. Ini menjadikan dana terkumpul setakat ini berjumlah kira-kira RM75000.

Harga surau yang dibangunkan adalah Rm196,500. Fokus AJK sekarang adalah menyiapkan bangunan surau terlebih dahulu. Bilik wuduq dan bilik air akan dibuat kemudian.Jumlah yang masih tidak cukup adalah dalam lingkungan RM120,000 lagi.

Penderma-penderma boleh membuat sumbangan derma dalam bentuk:
1. Wang tunai
2. Cek
3. Wang pos atau kiriman wang pos

Cara menyumbang:
1. Hantar sendiri secara tunai kepada bendahri atau mana-mana AJK
2. Poskan ke alamat surau as-syakirin iaitu Surau As-Syakirin d/a No 40 Jalan TPS 4/5 Taman Pelangi Semenyih,43500 Semenyih, Selangor
3. Terus kredit ke akaun SURAU AS-SYAKIRIN no akaun : 0675-11-000223-3 di EON Bank
4. Melalui transaksi perbankan internet di http://www.maybank2u.com.my/ , http://www.cimbclicks.com.my/ atau dari mana-mana perbankan internet bank tempatan.

Serahkan slip bank atau sebarang bukti sumbangan untuk tujuan pengeluaran resit rasmi.

New entry

1. Berita baik. Jumlah sumbangan telah dikurangkan. Klik sini..
2. Arah kiblat
3. Keuntungan berganda.
4.