Oleh kerana kita tinggal di Semenyih kadangkala kita terserempak dengan puluhan kenderaan yang mengiringi jenazah rakan kita dari keturunan cina siap dengan iringan polis trafik bagi mengawal lalulintas. Tidak lain tidak bukan, jenazah rakan kita berketurunan cina tersebut diiringi untuk disemadikan di Nirvana Memorial Park, Satu taman peringatan eksklusif buat mereka yang mampu. Penulis blog dikhabarkan satu lot tanah kubur disitu berharga puluhan ribu yang perlu dibayar oleh waris mendiang simati. Itu tidak lagi termasuk bayaran kos menyediakan jenazah seperti keranda dan kenderaan serta majlis berkabungnya. Jika penulis tersilap fakta mohon dimaafkan.
Tetapi bagi masyarakat muslim, mengendalikan urusan jenazah bukan satu perniagaan.Apa yang berlaku ialah wang yang dikeluarkan oleh waris adalah minima sekadar untuk melepasi syarat untuk membeli peralatan seperti kain kafan, kapas dan wangian sahaja selain sedikit saguhati kepada pekerja-pekerja terutamanya kepada pengendali tanah perkuburan ( Saguhati penggali kubur ). Selain itu juga sedikit bayaran untuk menampung kos perkhidmatan van jenazah.
Tanah perkuburan pula tidak perlu dibayar. Penggunaannya adalah percuma kerana kebanyakannya diwakafkan oleh pemilik tanah dahulukala atau boleh jadi tanah perkuburan itu disediakan oleh kerajaan atau pemerintah.
Bayaran mengendali jenazah umat Islam ini berbeza-beza mengikut tempat. Rata-rata kos mengurus antara RM500 ke RM1000. Ini adalah jumlah yang perlu dibayar oleh waris simati bagi melancarkan proses pengurusan jenazah ahli keluarga mereka.
Satu fakta di sesebuah komuniti, pengurusan jenazah lazimnya adalah diurus oleh AJK masjid atau surau. Jarang kita mendengar persatuan penduduk yang mengambil tindakan.
Masjid dan surau adalah entiti amat penting dalam komuniti penduduk muslim. Jenazah penduduk biasanya akan diurus oleh AJK masjid atau surau terhampir dengan rumah penduduk. Adalah satu kejanggalan, jenazah dalam komuniti diuruskan oleh pihak luar sesebuah komuniti atau taman perumahan.
Bagi sesetengah masjid atau surau pula, AJKnya menubuhkan badan khairat dimana ahli perlu membayar sejumlah yuran tetap secara bulanan bagi mengumpul dana. Dana ini dibayar kembali kepada waris simati bagi membeli peralatan dan membayar saguhati perkhidmatan bagi mengurus jenazah tersebut bermula dari dimandikan,dikafankan,disembahyangkan, diiringi ke tanah perkuburan, dikebumikan dan akhir sekali ditalqin atau dibacakan doa ke atas rohnya.
Adakah Surau As-Syakirin yang bakal dibangunkan akan menubuhkan badan khairat ini ? Jawapannya tidak dapat ditentukan.Ia bergantung kepada kehendak penduduk. Untuk menubuh badan khairat jumlah ahli perlu ramai kerana ia melibatkan pengumpulan dana secara besar-besaran. Lazimnya masjid akan berbuat demikian, atau boleh jadi menyumbang kepada satu syarikat takaful adalah jalan penyelesaian.
Satu penyelesaian terbaik kepada penduduk yang tidak berminat menjadi ahli mana-mana badan khairat adalah surau akan mendahulukan kos bagi mengurus jenazah ahli keluarga penduduk yang meninggal. Kemudian apabila semuanya selesai, waris perlu menggantikan semula wang surau yang telah digunakan tersebut untuk dimanfaatkan oleh orang lain pula. Untuk itu dana surau perlu banyak. Jika dana tidak banyak sukar juga untuk memilih kaedah ini. Jika tidak ganti pula tidak mengapa. Tetapi tidaklah dapat kita membantu orang lain pula.
Tetapi semua ini hanya cakap kosong sahaja jika tiada surau di komuniti kita.
Dalam tempoh terdekat ini sekiranya ada kes kematian , waris perlu memaklumkan kepada Pengerusi Surau An-Nur yang terletak lebihkurang 1KM dari penempatan penduduk fasa 6 dan 7 Taman pelangi Semenyih.
Walaupun kedudukan surau An-Nur hanya sejauh 1KM dari komuniti fasa 6 dan 7 Taman Pelangi Semenyih, namun apabila dinisbahkan dengan kepadatan penduduk yang tinggi di fasa 1 hingga 5, adalah lebih baik fasa 6 dan 7 TPS menguruskan sendiri jenazah penduduk di komuniti ini jika mengambilkira jumlah kepadatan penduduk yang akan mula berpindah masuk pada Disember 2009 ini.
Sehubungan itu AJK pembinaan Surau As-Syakirin ingin mencari sukarelawan yang arif dalam membantu mengurus kes kematian penduduk di komuniti ini. Namun semua ini tidak dapat dilakukan kerana rata-rata penduduk tidak mengenali antara satu sama lain melainkan jiran terhampir dengan rumah penduduk sahaja. Ini kerana semua penduduk tiada kesempatan untuk bersuaikenal kerana tiada tempat untuk penduduk berkumpul.
Jadi kejayaan membangunkan Surau As-Syakirin adalah jawapannya...
Nota : Alhamdulillah..syukur. Kini Surau As-Syakirin sudah siap dan sudah digunakan selama 3 minggu. Surau mula diguna pada 10 Julai 2010 bermula solat fardhu Maghrib.
No comments:
Post a Comment