Monday, November 16, 2009

Status terkini

Penulis blog telah menghubungi kontraktor AZ Asia Enterprise berkaitan keputusan AJK.

AJK mahukan kontraktor membina dulu jalan masuk ke tapak surau kerana ia melibatkan memasang konkrit di atas longkang supaya lori dapat masuk menghantar bahan binaan selain mula membuat frame kayu untuk pemasangan beam atau konkrit tiang.

En Zakri pula memaklumkan jalan masuk tidak boleh dibuat dulu kerana beliau menunggu plan struktur dari En Nik. Pelan terdahulu terdapat sedikit kesilapan kerana arah kiblatnya lari sedikit. En Nik perlu membetulkannya mengikut bearing arah kiblat yang telah ditentukan pegawai daripada Jabatan Mufti yang telah melakukan prosedur menentukan arah kiblat di tapak surau As-Syakirin. En Nik akan bekerjasama dengan surveyor.

Pelan struktur atau engineering plan pula masih dalam proses untuk disiapkan. Plan ini penting untuk kontraktor mengetahui material yang digunakan.

Penulis blog tidak faham sangat aspek-aspek teknikal pembinaan ini. Apa yang penting ialah penulis blog mahu surau segera dibangunkan..Tak sabar rasanya untuk menggunakannya dan berjumpa serta berkenalan dengan semua penduduk fasa 6 dan 7 TPS ini.

Lembaga zakat pula perlu maklumat

Hari ini penulis blog dihubungi pengerusi memaklumkan Lembaga Zakat meminta AJK menghantar kertas kerja , 3 bulan penyata bank , gambar tapak surau dan gambar surau sementara atau surau terdekat yang penduduk kunjungi untuk menumpang berjemaah.

Seperti kata penulis blog, memohon peruntukan dari Lembaga zakat adalah langkah terakhir akan dipilih untuk menampung kos pembinaan surau As-Syakirin.

Secara peribadi penulis blog lebih suka wang zakat diperuntukkan bagi membantu fakir miskin. Orang-orang Islam yang melarat, ibu-ibu tunggal yang kesempitan hidup, membantu membina atau membaiki rumah-rumah rakyat yang daif, membiayai kos pengurusan rumah anak-anak yatim, memberi biasiswa pendidikan kepada pelajar yang tidak mampu dan kepada orang lain yang lebih memerlukan.

Kepada penduduk di komuniti ini, surau yang hendak dibangunkan adalah untuk kegunaan kita sendiri. Sangat patut kos pembinaannya di sumbangkan oleh kita sendiri. Tidak banyak sedikit. Sekurang-kurangnya kita memberikan sumbangan ke atas pembinaannya. Jangan biarkan pihak lain membiayai surau kita sepenuhnya untuk kita gunakan tanpa kita terlibat dengan usaha membangunkannya.

Kepada penderma dari luar komuniti kami, tuan/puan boleh terus menyumbang. Bantuan dari tuan/puan juga amat kami hargai.

Pegawai dari JPM telah datang

Pada hari Khamis minggu lepas pegawai dari Jabatan Pembangunan Persekutuan Jabatan Perdana Menteri telah melawat lokasi tapak surau As-Syakirin. Penulis blog tidak dapat hadir kerana bertugas. En Azwan, setiausaha telah hadir bersama Tn Hj Halim mengiringi 3 pegawai tersebut. Setakat ini penulis blog tidak mendapat apa2 maklumat kerana tiada kesempatan berjumpa sdr Azwan. Difahamkan pegawai tersebut meminta kertas kerja permohonan pembinaan surau dan juga maklumat latarbelakang penduduk fasa 6 fan 7 Taman Pelangi Semenyih. Penulis blog belum sempat bertindak kerana kekangan masa. Namun kertas kerja yang sama penulis blog telah beri kepada YB ADUN Semenyih beberapa bulan yang lalu.

Setakat ini perkembangan selanjutnya tidak diketahui. AJK akan menunggu. Namun kepada semua penderma tuan/puan boleh terus menghulurkan sumbangan bagi menambah dana pembinaan surau As-Syakirin. Seperti diputuskan oleh AJK , kita tidak akan menunggu peruntukan dari JPM diperolehi kerana keputusannya tidak dapat dipastikan.

Duit dari penderma yang sudah terkumpul setakat ini yang hampir mencecah RM80,000 akan dimanfaatkan untuk memulakan pembinaan.

Wednesday, November 11, 2009

rancangan pembangunan surau telah dihantar ke MPKj

pagi tadi tn Hj Raja Zazman dan Hj Razak telah pergi ke JAIS di Shah Alam untuk mendapatakn tandatangan pegawai JAIS pada pelan rancangan pembangunan surau As-Syakirin. Balik dari Shah Alam kedua-dua AJK telah pergi ke MPKj untuk submit dokumen tersebut. AJK difahamkan MPKj akan membawa ke dalam mesyuarat ahli majlis untuk tujuan kelulusan. Dalam bulan Disember 2009 nanti, baru keputusan akan diperolehi.

Dalam tempoh itu, AJK berharap para penderma dapat terus memberikan sumbangan mengisi dana pembinaan Surau As-Syakirin. Untuk dana fasa kedua ini adalah bagi pembinaan kerangka bumbung dan memasang bumbung jenis aluminium GI dan atap jenis genting simen.

Tuesday, November 10, 2009

RM595 telah dikeluarkan

Sebanyak Rm595 telah dikeluarkan untuk membayar kos perkhidmatan consultan bagi menyediakan dokumen-dokumen berkaitan untuk proses submit rancangan pembangunan surau As-Syakirin kepada Majlis Perbandaran Kajang bagi tujuan mendapatkan kelulusan membangunkan surau As-Syakirin.

Sudah lulus nanti, pembinaan surau As-Syakirin telah sedia dimulakan..

Resit tuan/puan ada

Kepada penderma dari luar komuniti kami tuan/puan jangan bimbang jika tidak menerima resit. Resit akan diposkan ke alamat tuan/puan. Penulis blog selaku bendahari memohon maaf sekiranya tuan/puan lambat menerima resit.

Untuk makluman tuan/puan. Sebaik sahaja bendahari menerima wang sumbangan, bendahari dengan segera terus mencatat sumbangan ke dalam buku lejer dan menulis resit rasmi. Kemudian dengan kadar segera pula wang tersebut akan dimasukkan ke bank.

Kadangkala resit lambat diposkan ke alamat penderma kerana bendahari kesuntukan masa untuk pergi ke pejabat pos. Namun tuan/puan usah khuatir kerana sumbangan tuan/puan InsyaAllah akan diurus sebaik mungkin. Sila masuk ke blog surau As-Syakirin bagi memastikan nama tuan/puan telah dicatat sebagai penderma. Sekiranya tidak tercatat sila maklumkan penulis blog dengan SMS ke 013-2937679 atau email ke jamalul_lail@yahoo.com untuk dibuat semakan.

Sebagai alternatif tuan/puan boleh terus mencetak dari entry blog bertajuk sumbangan dari luar komuniti fasa 6 dan 7 Taman Pelangi Semenyih secara online. Sebelum mencetak tukar setting page dari potrait kepada landscape terlebih dahulu. Jangan printscreent page kerana ia akan menghilangkan URL laman blog surau As-Syakirin.

Bagi derma daripada penduduk pula, resit akan terus dihantar ke rumah mereka dengan kadar segera.

HRC

Pagi tadi Tn Hj Razak telah menerima draf rancangan pembangunan surau As-Syakirin dari pihak consultan HRC untuk dihantar bagi tujuan kelulusan kepada Majlis Perbandaran Kajang. Namun dalam pelan yang baru, tandatangan pengesahan dari pegawai Jabatan Agama Islam Selangor diperlukan. Sehubungan itu pada besok pagi 11 Nov 2009 , Tn Hj Raja Zazman dan Tn Hj Razak akan ke Jabatan Agama Islam Selangor di Shah Alam membawa dokumen berkaitan untuk ditandatangani oleh pegawai JAIS. Selepas tandatangan diperolehi, dokumen tersebut akan dihantar ke MPKj.

Sekian untuk makluman penduduk.

Surau bukan untuk lelaki dewasa sahaja

Surau yang dibangunkan bakal digunakan oleh kaum wanita dan kanak-kanak serta orang tua. Tapi rata-rata penduduk di komuniti fasa 6 dan 7 belum ada yang berstatus 'orang tua' lagi. Kebanyakan penduduk berumur dalam lingkungan 30 ke 40 an. Namun dalam 20 tahun lagi akan ada ramai orang tua di sini. Penulis blog dalam 20 tahun lagi sudah mencecah usia lebih separuh abad. Sudah 60 tahun lebih usia penulis blog ketika itu. Sudah berstatus warga emas. Itupun jika hayat masih ada.

Bagi wanita dan kanak-kanak,jauh dari rumah memberikan ancaman keselamatan kepada mereka. Surau yang dibangunkan ini sudah pasti akan dikunjungi oleh kaum wanita dan kanak-kanak jika lokasinya hampir dengan rumah mereka.

Wednesday, November 4, 2009

Komitmen bulanan kita

Banyak betul komitmen bil-bil bulanan yang perlu kita bayar. Macamana kita nak beri sumbangan menambah dana pembinaan Surau As-Syakirin ni...

Pada perkiraan penulis blog, di bawah adalah komitmen bil-bil yang perlu dibayar oleh penduduk setiap bulan:

Membayar hutang pinjaman bank
1. Ansuran membeli rumah - RM800 - RM1000
2. Ansuran membeli kereta - RM600 - RM900
3. Ansuran membeli motosikal - RM200
4. Ansuran pinjaman peribadi - RM200

Lain-lain komitmen bayaran
1. Caruman insuran hayat/insuran kesihatan/insuran pendidikan- RM50
2. Bayaran balik pinjaman pelajaran (MARA,JPA,PTPTN, bank) - RM100

Membayar bil-bil utiliti
1. Bil letrik - RM50 - RM100
2. Bil air - RM10
3. Bil telefon dan internet -RM60
4. Topup / Bil Handphone - RM50
5. Cukai pintu / cukai tanah / IWK (setahun 2X)

Bil perkhidmatan hiburan / media
1. Langganan ASTRO - RM80
2. Langganan suratkhabar / majalah - RM30

Pengangkutan
1. Petrol kereta - RM500
2. Pengangkutan awam - tiada
3. Insuran dan roadtax (setahun sekali)- RM300 - RM500
4. Service kereta dan motosikal - RM100

Belanja dapur
1. Bahan mentah masakan - RM500
2. Gas masak - RM20

Makan di luar
1. Restoran makanan segera - RM100
2. Restoran mamak / restoran nasi campur ( kes malas nak masak ) - RM100

Keperluan persekolahan anak
1. Belanja sekolah - RM100 X 4 orang anak = RM400
2. Pelbagai yuran - RM100

Keperluan peribadi
1. Rokok - RM100
2. Syampoo, sabun, minyak rambut, ubat gigi, gunting rambut - RM50
3. Pakaian , kasut - RM50

Lain-lain komitmen / sekali-sekala
1. Renovation rumah - RM10,000 - RM20,000
2. Melancong - sewa hotel
3. Balik kampung
4. Tengok wayang
5. Tiket bola
6. Tiket taman tema
7. Beli handphone dan komputer baru - RM500 ke RM2000
8. Beli TV LCD / TV Plasma baru - Rm1200
9. Beli perabot baru - RM1000
10. Tukar langsir - RM500
11. Beli set pinggan mangkuk

Mmmm... banyaknya komitmen bulanan kita. Memang patutlah kita tidak dapat menyumbang bagi mengisi dana pembinaan surau As-Syakirin. Tak cukup duit...Nak beri tu memang nak beri.. tapi RM100 tu jumlah yang agak besar juga...

Kepada penduduk, duit banyak mana sekalipun tidak akan cukup. Marilah kita berkorban. Sekali sahaja sepanjang kita mendiami komuniti kita ini. Jangan fikir panjang lagi...kita tidak akan rugi jika kita membuat sumbangan menambah dana pembinaan Surau As-Syakirin. Banyak manfaat yang akan kita perolehi apabila surau ini siap nanti..

Tuesday, November 3, 2009

RM100,000 sasaran kedua

Lebih kurang RM73,000 telah berjaya dikumpul dan wang sumbangan orang ramai tersebut selamat tersimpan di bank.

Dengan wang tersebut Ajk telah boleh memulakan pembinaan. Untuk peringkat ini sturktur bangunan dapat disiapkkan 1oo%. Struktur bangunan meliputi kerja-kerja awal pertapakan bangunan, ground beam, lantai konkrit, tiang konkrit dan top beam untuk menampung kerangka bumbung.

Fasa seterusnya adalah pemasangan kerangka bumbung dan memasang bumbung daripada jenis genting simen. Tetapi untuk fasa ini dana nya tidak ada.

Sehubungan itu kepada para dermawan yang sudi membantu mengisi dana pembinaan Surau As-Syakirin kami AJK pembinaan mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga.

Kepada individu yang berniat untuk membuat kebajikan, ingin mewakafkan harta, ingin bernazar, ingin mendedikasikan derma untuk ahli keluarga tersayang yang telah meninggalkan alam yang fana ini, inilah masanya. Kami telah menyediakan ruang dan peluang kepada tuan/puan untuk berbuat demikian.

Jika ingin menyumbang, tuan/puan boleh terus mengkreditkan sumbangan dengan terus memasukkan wang sumbangan menggunakan mesin deposit tunai EON BANK. Akaun SURAU AS-SYAKIRIN dibuka di EON BANK cawangan Semenyih Sentral dengan nombor akaun 0675-11-000223-3 . Cukup mudah. Masukkan sahaja sumbangan tuan/puan terus ke akaun SURAU AS-SYAKIRIN. Mesin ATM ini dibuka sehingga malam hari. Tiada masa pada waktu siang kerana pergi berkerja, tuan/puan boleh pergi pada waktu malam..